MAJLIS PERLANCARAN BIASISWA PEMIKIR MUDA MALAYSIA
Pada 13 feb 2014, Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini melancarkan Biasiswa Pemikir Muda Malaysia yang akan memberi peluang kepada pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.
Buat permulaan, Universiti LimKokWing menawarkan 30 biasiswa penuh bernilai RM3 juta untuk pelajar yang layak melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang termasuk seni bina, multimedia kreatif, perakaunan dan rekaan teknologi web.
Biasiswa tersebut telah ditawarkan melalui kerjasama Pertubuhan Pemikir Muda (PPM) dalam usaha melahirkan para graduan yang cemerlang dalam pelbagai lapangan.
Majlis pelancarannya di sini hari ini turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin; Naib Presiden Universiti LimKokWing, Datuk Fajura Mustapa Kamal dan Presiden PPM merangkap Pengerusi Biro Pelajaran Pemuda UMNO, Mohd. Rafiq Naizamohideen.
Dalam majlis itu, Rosmah menerima gelaran Srikandi Pendidikan Negara daripada PPM sebagai pengiktirafan terhadap jasa beliau dalam pembangunan pendidikan generasi muda dari peringkat pendidikan awal kanak-kanak hingga pengajian tinggi.
Rosmah dalam ucapannya berkata, golongan belia harus sentiasa bersedia untuk menerima tanggungjawab lebih besar dan berinisiatif untuk menjadikan Malaysia negara maju dan makmur.